Menyambar
Jenis ikan yang gemar menggunakan teknik ini adalah dari jenis yang bergigi tajam atau jenis ikan "predator" yang akan makan umpan semasa bergerak, mau pun ikan itu sendiri yang bergerak atau umpan bergerak. Ini selalu berlaku semasa kita memancing dengan kaedah menunda (trolling), "casting", atau memancing dengan umpan hidup (live baiting) atau umpan tiruan. Beberapa jenis ikan yang berkelakuan begini adalah, Ikan Alu Alu, Haruan Tasik, Ikan Yu, Ikan Siakap, Tenggiri, Gerepoh atau GT dan lain lain lagi.
Bagi ikan jenis ini mata kail yang sesuai adalah dari jenis "Tuna Hook" atau " Big game Hook" yang mana matanya menegak lurus kepangkal. Ini disebabkan apabila ikan tersebut menyambar pada umpan , mata kail akan terus mencangkuk pada ikan tersebut. Jenis mata kail ini juga mempunyai daya ketahanan yang kuat dan tidak akan melurus semasa hentakan. Kajian menunjukkan bahawa apabila ikan menyambar umpan, kekuatan hentakan adalah lebih kurang 10 kali berat badan ikan tersebut. Misalnya, sekira berat badan ikan itu adalah 10 kg maka kuasa atau berat hentakan adalah lebih dari 100 kg. Jadi bayangkan sekiranya mata kail itu tidak kuat atau bersesuaian maka ikan akan terlepas.
Meragut
Meragut bermakna jenis ikan yang memakan umpan yang tidak bergerak manakala ikan tersebut akan mengambil umpan dan melarikan diri.Ini selalu berlaku apabila kita memancing dasar (bottom fishing) atau mengambur (drift fishing) dimana kita mengunakan umpan yang mati.Kebanyakan ikan berkelakuan begini dan diantaranya adalah ikan Jenak, ikan Merah, Pari, Ebek dan bermacam macam lagi.
Bagi jenis ikan ragut ini, mata pancing yang disyorkan adalah dari jenis kail yang matanya membengkok sedikit atau dari jenis kail yang dipanggil " circle hook".
"Circle hook" adalah sejenis kail yang dicipta khusus untuk mencangkuk ikan hanya pada mulutnya.Walaubagaimana pun pengunaan kail jenis ini berbeza sedikit dari kail yang lain dimana kita tidak boleh menyetaknya.
Apabila ikan menarik umpan hanya mengetatkan kekili dan menegangkan tali pancing sahaja. Kail jenis ini akan mengena secara tersendiri apabila ikan bergerak kehadapan dan oleh sebab kail ini mempunyai bengkok dimatanya peluang untuk ikan melepaskan diri adalah rendah. Melalui kajian didapati purata ikan yang tercangkuk adalah 99.9 % dengan penggunaan kail jenis ini. Kelebihan lain pada penggunaan kail jenis ini adalah ikan yang terkena kail ini dapat dilepas balik hidup hidup kerana ia akan hanya tersangkut pada mulut dan sekiranya kita hendak melepasnya kembali ia tidak akan mencederakan ikan tersebut.

Memagut
Ikan yang makan secara memangut adalah dari ikan yang makan dan berada ditempat itu.Ikan jenis ini tidak bergerak semasa mememakan umpan maupun umpan bergerak, oleh demikian amatlah susah untuk kail mengena ikan tersebut secara tersendirinya.Jenis ikan yang suka memangut adalah, ikan gelama, ikan duri dan anak anak ikan atau ikan yang kecil saiznya.
Bagi ikan yang suka makan begini saya mengsyurkan kail yang jenis lurus atau mempunyai mata yang mendonggak ketepi (off set point). Disyorkan juga mata pancing yang digunakan janganlah terlalu besar. Untuk mendapat ikan jenis ini kita perlulah cepat menyentaknya apabila dikesan ikan memakan umpan.
Menghisap
Terdapat juga ikan yang menghisap umpan kedalam mulutnya seperti ikan kerapu,gongbelang, pelata bali, dan banyak lagi , Ikan dari jenis ini ada yang mempunyai gigi tajam dan ada juga yang mempunyai insang yang tajam untuk memotong umpan selepas umpan masuk kemulutnya.
Bagi ikan dari jenis ini kail yang sesuai adalah dari jenis bertangkal panjang . Selepas kita memahami beberapa cara ikan makan umpan bolehlah kita memilih kail yang bersesuaian untuk kita pergi memancing dengan lebih konfiden lagi dan satu pesanan dimana kita harus mengamalkan konsep tangkap dan lepas pada ikan yang kecil dan ikan yang berlebihan. Ingatlah pada generasi dan anak cucu kita supaya mereka pun boleh memancing juga.
Habitat/sifat pemakanan:
Ikan yang sering dijumpai di kawasan laut yang berstruktur ini susah didapati kecuali di sesetengah lubuk yang amat jarang dikunjungi oleh nelayan dan pemancing. Jika kita berjaya menjerat sekumpulan kerapu, ini bermakna lubuk itu masih dara atau telah lama tidak dikacau oleh nelayan atau pemancing.
Pemangsa yang kelihatan bersifat pemalas, ‘berat perut’ dan bergerak lemah longlai itu menghabiskan banyak masa bersembunyi di kawasan berstruktur seperti kapal karam atau karang. Ia gemar menyambar mangsanya dengan rakus dan kemudian membawanya secepat mungkin masuk ke struktur atau lubang yang menjadi kediamannya. Oleh itu, pemancing yang berjaya menewaskannya dalam saiz besar dianggap telah berjaya memperolehi salah satu lesen memancing yang amat dibanggakan.
Dari segi sifat pemakanannya, kerapu bolehlah dikatakan spesis ikan yang paling tidak cerewet. Semua jenis umpan yang sesuai dengan seleranya akan diterkamnya tanpa banyak memilih. Kerapu biasanya aktif memburu mangsa pada waktu malam. Tetapi adakalanya pada waktu siang hari, khususnya awal pagi dan lewat petang, turut menjadi waktu yang paling sesuai untuk menjeratnya.
Peralatan dan teknik:
Dari segi bentuk badan dan sifat pemakanannya, kerapu telah diciptakan sebagai spesis pemangsa yang suka menyerang secara rakus, kasar dan mengejut. Ia mempunyai tenaga yang agak luar biasa untuk menyerang dan membunuh dengan begitu cepat dan singkat, tetapi ketahanan sewaktu menentang joran tidaklah berpanjangan sebelum ia lemah terkulai dan tewas.
Oleh itu, untuk memancing kerapu dengan efektif, para pemancing haruslah menggunakan peralatan yang benar-benar sesuai, iaitu terdiri dari jenis yang kuat dan kasar. Kejayaan menewaskan kerapu daripada meluru masuk ke kawasan yang berstruktur dari peringkat awal ‘peperangan’ adalah penentu kepada kejayaan muktamad menewaskan spesis tersebut. Justeru itu, para pemancing disarankan agar menyediakan kekili dan joran yang berkekuatan berat yang dijamin dapat menahan asakan awal yang kasar dari kerapu. Persediaan-persediaan alat perang lain seperti tali utama, mata kail dan perambut juga perlulah terdiri daripada jenis yang tahan, kuat dan kasar.
Mata kail dan perambut
Mata kail dari jenis yang diakui kekuatannya seperti Mustad dan Gamakatsu yang bersaiz besar, sekurang-kurang no. 5 ke atas perlulah disediakan bergantung kepada jenis dan saiz umpan yang akan digunakan. Mata kail yang besar sangat perlu untuk memastikan ia betul-betul dapat tertancap kukuh pada mulut kerapu yang bersaiz besar itu. Jika tidak, umpan dan mata kail boleh terlucut atau terkeluar dengan mudah sewaktu kita sedang menahan tarikan ikan.
Dari segi penyediaan perambut, tidak ada masalah jika perambut yang agak kasar digunakan. Kerapu pada umumnya adalah spesis ikan yang tidak begitu peka dengan ketebalan dan warna perambut. Oleh kerana sifatnya yang suka menyelinap di dasar berstruktur setelah melarikan umpan, maka seeloknya kita menggunakan perambut yang lebih tebal dan bermutu tinggi. Ini penting untuk mengelakkan ia putus.
Ada nelayan menggunakan perambut yang berkekuatan sehingga 200lb menggunakan koyan sewaktu menjejak induk kerapu. Bagaimanapun untuk pemancing, perambut berkekuatan 80-130 adalah memadai bergantung kepada saiz umpan dan mata kail yang sesuai. Perambut yang kasar dan kuat perlulah disesuaikan juga dengan penyediaan tali utama dari jenis tali sulam yang berkekuatan lebih 60lb. Lebih kuat kekuatan tali utama adalah lebih baik untuk memastikan kejayaan si pemancing.
Kerapu adalah spesis yang makan di dasar laut. Oleh itu, seeloknya umpan yang diturunkan ke bawah janganlah digantung terlalu tinggi daripada dasar laut. Pastikan juga tali utama sentiasa tegang untuk mengelakkan ia mudah tersangkut apabila dilarikan ikan.
Teknik pancingan
Cara pancingan tradisional yang menggunakan batu ladung yang diikat terus pada tanduk dan penggunaan perambut panjang membolehkan kita memperolehi kadar ragutan ikan yang lebih cepat dan tinggi. Tetapi kelemahannya, ia memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada sang ikan untuk melarikan umpan ke kawasan berstruktur lalu menyebabkan tali tersangkut dan putus.
Perambut Apollo atau paternoster menggunakan dua mata yang digantung sedikit jauh dari struktur dasar menjadi satu kelebihan untuk mengelakkan terjadinya sebarang kes sangkutan. Bagaimanapun, ia juga mempunyai kelemahan kerana keadaan perambutnya yang agak pendek, menyebabkan umpan tidak dapat dipersembahkan dengan lebih ‘hidup’ dan berkemungkinan kita akan mendapat ragutan yang agak kurang berbanding dengan teknik biasa.
Cara terbaik ialah kita menggunakan teknik biasa tetapi menambahkan beberapa meter tali yang lebih halus pada batu ladung agar batu ladung dapat diangkat lebih tinggi dari dasar. Cara ini banyak membantu kita mengelakkan sangkutan batu ladung sewaktu umpan diragut ikan dan pada masa sama membolehkan umpan dipersembahkan dengan lebih bergaya.
Pemilihan umpan
Pemilihan umpan juga penting kerana walaupun kerapu tidak begitu memilih umpan, tetapi kebiasaannya ia gemar menerkam umpan yang agak besar. Umpan yang popular untuk menjerat kerapu ialah pelbagai jenis ikan apollo seperti selayang, selar dan kembong, tetapi yang cukup berkesan ialah umpan seekor tongkol segar. Umpan seekor tongkol mahupun potongan tongkol yang bersaiz besar sering menjadi sandaran kami untuk menaikkan spesis kerapu-kertang di perairan Pulau Pinang dan Kedah. Selain tongkol, kurita hidup juga menjadi umpan istimewa kerapu. Namun kerana saiznya agak kecil, ia sering dikacau terlebih dahulu oleh pemangsa lain khususnya jenahak dan ini boleh menganggu konsentrasi kita jika rancangan utama kita ialah menjerat sang kerapu.
Penggunaan umpan yang agak besar dicadangkan bagi menjerat kertang yang bersaiz monster. Lagi besar umpan lagi baik dan lebih efektif menjerat kerapu. Ini sesuai dengan sifatnya yang agak gelojoh dan tamak dan lebih berminat kepada mangsa yang lebih besar. Pengalaman menarik diperolehi semasa kami memancing kertang di sebuah lubuk dikenali sebagai Karang 06, Kedah. Seekor kerapu monster telah membaham seekor jenahak bersaiz 1-1.5 kg yang sedang meragut umpan, tetapi terlepas daripada mata kail kerana saiz mata kail tersebut yang terlalu kecil (no. 2) tidak dapat mengikat kemas mulut kerapu yang keras dan besar itu.
Walau bagaimanapun, kerapu itu tidak serik untuk menerkam umpan lain yang dihulurkan. Kali ini umpan yang disentuhnya ialah seekor kurita hidup yang diletakkan di hadapan bot. Umpan-umpan yang lebih kecil tidak menerima sebarang ragutan walaupun lebih hampir dengan lubuk kerapu yang meragut seekor jenahak itu. Ini menunjukkan kerapu lebih berminat kepada umpan bersaiz besar, dan jika tiada pilihan umpan paling besar diturunkan itulah yang akan menerima ragutannya. Barangkali umpan yang kecil dilihatnya seperti seekor kutu sahaja.
Cara melawan kerapu
Cara melawan kerapu yang betul adalah satu syarat terpenting untuk mengelakkannya dari masuk ke sarang dan menyebabkan kita menggigit jari. Taktik yang paling asas ialah kita jangan memberikan sebarang peluang kepada si kerapu untuk menarik tali keluar dari kekili dan memalingkan kepalanya ke bawah. Ini kerana jika ia berjaya berbuat demikian, ia akan menuju terus ke struktur berkarang dan pasti berjaya membelit atau memutuskan tali.
Sebaiknya kita harus mengekangnya sepantas dan sekuat yang boleh dan memaksanya bertahan agak lama sambil mencuba untuk menariknya menuju ke permukaan air. Cara ini agak kasar dan begitu memenatkan, tetapi berbaloi kerana kerapu hanya melawan seketika waktu sahaja. Jika kepalanya berjaya dihala ke atas dan ia sudah ditarik ke pertengahan air, tidak akan wujud sebarang masalah untuk menewaskannya kerana ketika itu ia sudah lemah dan tidak berdaya untuk melawan lagi.